Tazkirah Hari Ini

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam. Yang Maha Berkuasa atas tiap - tiap yang berlaku. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W kerana tanpa berkat perjuangan baginda, kita tidak dapat merasai nikmat iman dan islam. Alhamdulillah.

InshaAllah hari ini saya akan berkongsi sedikit tazkirah berkenaan pemilihan pimpinan. Pimpinan adalah seorang yang dipilih melalui sistem demokrasi di negara kita, Malaysia. Sistem demokrasi adalah sistem di mana seorang pemimpin dipilih daripada beberapa cadangan nama wakil rakyat untuk dijadikan sebagai pemimpin negara. Sistem demokrasi ini mirip kepada sistem pemilihan pemimpin di dalam Islam. Mirip tetapi tidak serupa. Dalam Islam, sistem memilih pimpinan dilakukan melalui sistem Syura. Syura terbahagi kepada dua, Syura Mu'lim dan Syura Munzim.
Dan syura ini dilakukan adalah bagi menapis cadangan nama agar pemimpin yang dipilih boleh memimpin sesuatu organisasi atau negara dengan cara Islam.

Semasa zaman Rasulullah, baginda telah mengamalkan kedua - dua sistem syura tersebut. Syura Munzim dilakukan pada ketika berlakunya Perang Khandak. Pada ketika itu, Rasulullah mencadangkan agar berperang di luar Madinah. Tetapi, seorang sahabat bernama Salman Al-Farisi bertanya dahulu kepada baginda, adakah ini wahyu ataupun cadangan dari nabi sahaja. Baginda menjawab ianya adalah cadangan dari Nabi sahaja. Maka beliau pun mencadangkan agar tentera Islam pada waktu itu bertahan di dalam Madinah, dan digali parit sekeliling kota Madinah. Dikatakan parit tersebut jaraknya tidak mampu untuk kuda melompat menyeberanginya dan kedalamannya juga kuda tidak mampu untuk melompat keluar.

Dalam konteks ini, kita boleh lihat berkenaan adab-adab yang ditunjukkan oleh sahabat baginda sebelum menyuarakan apa - apa pendapat. Dan rasulullah tidak membangkang cadangan tersebut secara membuta tuli.

Sempena PRU-14, suka saya untuk menyuarakan hasrat saya agar kalian dapat melakukan timbang tara yang sebenarnya untuk memilih pimpinan. Dan pembawaan pimpinan yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah pembawaan yang harus kita pilih. Sekian lama kita telah dipimpin oleh sistem pemerintahan bercorakkan sekular dan bertunjangkan undang-undang barat. Sistem kehakiman di Malaysia yang berlandaskan Islam dipandang remeh. Maka perlu wujud kesedaran dalam masyarakat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih pemimpin yang adil dan berlandaskan Quran dan Sunnah.

Kenapa Quran dan Sunnah? Tidak cukupkah dengan undang-undang yang selama ini kita pegangi? Wahai sahabat sekalian, sedarlah realiti semasa di Malaysia. Pesta arak tetap dilaksanakan walaupun mendapat halangan, orang Islam yang murtad semakin ramai, gejala sosial yang makin parah sehingga sebati dalam pandangan masyarakat awam, anak-anak muda seawal usia 14 tahun sudah berani melakukan jenayah bahkan mengambil bahan terlarang seperti menghidu gam, dadah dan rokok.

Walaupun ada tindakan dari pihak berkuasa, tetapi sampai bila perkara ini harus berterusan? Tidak nampakkah kita akan peluang di hadapan mata untuk mengubah segala kemaksiatan yang berlaku demi kebaikan kita bersama. Allah tidak memilih umat mana untuk ditimpakan azab. Bahkan azab tersebut bakal menghujani tidak kira yang alim atau yang fasik. Keperluan untuk menyebarkan dakwah Islam semakin tinggi. Pentingnya ada sikap saling menegur dalam masyarakat kita pada hari ini.

Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Muhammad S.A.W yang diturunkan oleh Allah untuk mengubah akhlak masyarakat jahiliah pada ketika itu, dan menyebarkan sinar Islam hingga ke pelusuk dunia. Harapan saya agar Malaysia menjadi satu negara yang mengamalkan Islam, lebih daripada negara Islam yang lain, yang gagal melaksanakan perintah Allah dalam pemerintahan.

Al-Fakir.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sambung Belajar di Mesir

Jenis Intima'

SELESAI SEKOLAH PERUBATAN. LALU NAK BUAT APA?